Semakin hari sumber alam semulajadi semakin berkurang akibat kemusnahan. Walau bagaimanapun dengan kemahiran terkini kita dapat membina alam buatan . Sejauhmana alam buatan boleh menggantikan kepuasan setanding dengan fungsi alam semulajadi?

 

             Kita menghadapi masalah kekurangan sumber alam semulajadi. Penggantinya adalah alam buatan. Apabila dikatakan alam buatan maka sudah tentulah ianya bukanlah satu sumber yang hidup yang dijana oleh manusia, tidak seperti alam semula jadi. Ia memiliki keunikan seni yang tersendiri. Keunikannya membawa banyak erti. Dalam artikel ini yang dimaksudkan alam buatan ialah sesuatu yang kaku dan tidak memiliki ciri-ciri hidup untuk menjadikan hidup kita lebih realiti.

            Alam semulajadi adalah termasuk seperti benda-benda hidup seperti pokok-pokok (hutan), hidupan laut, haiwan rimba dan lain-lain. Ini termasuklah juga unsur yang tidak bernyawa seperti sungai, gunung-ganang, pantai, pulau dan lain-lain. Pendekkata alam semulajadi adalah satu unsur yang bukan terjadi melalui ciptaan manusia. Menanam pokok bukanlah ciptaan manusia, ia hanya boleh dianggap sebagai mengembangkan sumber alam semulajadi. Alam semulajadi adalah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah untuk memberikan kemudahan manusia. Alam buatan pula adalah merupakan satu ciptaan manusia. Oleh kerana manusia dikurniakan akal maka wujudlah alam buatan manusia seperti contoh, bangunan, pokok-pokok plastik dan sebagainya.

            Alam semulajadi kini semakin kurang. Ini adalah kerana manusia semakin mahir menjana berbagai-bagai teknologi. Teknologi-teknologi tersebut adalah bagi memudahkan kehidupan manusia. Apabila teknologi ini berkembang maka banyaklah hasil-hasil buatan baru di keluarkan bagi mempermudahkan dunia baru kita. Ini termasuklah kenderaan, jam, pakaian serta banyak lagi. Kesemua ini memerlukan bahan dari hasil sumber semulajadi. Sebagai contoh untuk membuat perabut kita memerlukan pokok dari hasil alam semulajadi di hutan. Semakin hari setiap penduduk diserata negara di dunia kian bertambah. Maka sumber alam semulajadi seperti minyak, emas, balak, hasil laut kian giat dipergunakan untuk menampung alam buatan manusia yang baru tersebut. Apatah lagi dunia ekonomi memandu manusia bagi melombong hasil alam semulajadi bagi tujuan keuntungan. Makin berkuranglah sumber alam semulajadi tersebut.

            Pada hari ini banyak isu-isu alam semulajadi diperbincangkan. Terutamanya ancaman terhadap kekurangan hutan, ancaman sumber hidupan hutan dan laut, pencemaran udara, bunyi, air yang disebab oleh kesan sampingan hasil dari alam buatan manusia. Alam semulajadi yang damai seperti udara yang segar, kehijauan yang tidak terdapat secara benar-benar sihat dibandar dicemari dengan asap-asap kilang, sampah sarap dan minyak yang bertaburan dimerata-rata. Banyak kesan yang diperolehi akibat daripada kemusnahan alam semulajadi ini disamping peningkatan alam janaan manusia. Akibat kecuaian manusia sebagai contoh jerebu yang merupakan asap merbahaya akibat dari kebakaran hutan dimana pernah satu ketika dahulu melanda negara Malaysia sehingga pada waktu siang kelihatan benar-benar gelap seperti malam. Sehingga kini cuaca pula adalah semakin panas memandangkan akibat daripada penipisan lapisan ozon yang akhirnya gagal menghalang kebanyakan cahaya gelombang ultra violet (sejenis gelombang yang boleh membawa penyakit barah). Dengan peningkatan gas yang terbebas diudara seperti gas karbon dioksida keudara pula (iaitu dari asap-asap kenderaan, kilang dan sebagainya) akan menjana satu lapisan gas pelindung di atmosfera. Bukan melindung cahaya gelombang infra red dari masuk tetapi ia menghalang gelombang tersebut dari dipantulkan balik ke angkasa setelah memasuki kawasan bumi. Itulah yang sering kita panggil sebagai kesan rumah hijau. Kita sepatutnya sedar apabila suhu semakin panas ini bererti sesuatu yang sejuk beku seperti ais di kawasan kutub selatan dan utara akan mencair. Dari itu paras air laut akan meningkat seterusnya kawasan darat akan berkurangan akibat ditenggelami air. Sedangkan penduduk makin bertambah, jika berlaku masalah tersebut, dimana pula tempat untuk diduduki jika kehabisan tanah?. Ngeri bukan? Ya, walaupun mungkin lama bagi kita tetapi fikirkanlah untuk generasi akan datang. 

            Alam semulajadi memberikan banyak ilham kepada manusia terutama yang ingin membebaskan perasaan. Sepertimana banyak sumber alam semulajadi yang boleh memberikan nilai terbaik kepada perasaan. Kita sering mendengar bahawa suasana melihat matahari terbenam ditepian pantai itu indah bukan. Apakan lagi dengan yang dirindui atau dikasihi bersama-sama menyaksikan. Bunyi dan angin yang bertiup akibat deruan ombak memberikan kita kesempatan untuk melayangkan fikiran. Bukan begitu?. Kebanyakan kawasan-kawasan rekreasi dibina (hampir keseluruhannya) dibina dikawasan sumber alamsemulajadi asli, ditepi hutan, pantai, tasik dan sebagainya. Jarang yang dapat kita lihat kawasan berrekreasi di bandar-bandar (di bandar hotel bukan pusat rekriasi) Dapatkah kita tenteram dengan deruan enjin bermotor, kesesakan lalu lintas iaitu alam buatan manusia itu sendiri. Apakah anda memperolehi perasaan yang diinginkan pada keadaan begini.

            Kesihatan. Rata-rata sekrang ini kita sudah memiliki kepakaran dalam bidang perubatan. Ini termasuklah pakar bedah dan sebagainya. Ubat-ubatan kini sudah boleh didapati dengan mudah dengan cara mengekstrak dan adunan beberapa bahan kimia yang diperlukan. Tahukah anda bahawa semakin hari berbagai-bagai penyakit baru muncul satu demi satu dan memberi kita bencana yang amat besar tetapi jarang kita sedari. Dari mana datangnya keadaan ini. Ini disebabkan oleh kecuaian kita mengendalikan alam buatan kita sendiri seperti penyelenggaraan sampai dimana penggunaan plastik yang tidak dapat di uraikan oleh organisma tanah dan ada juga yang akhirnya bertindakbalas mengeluarkan bahan kimia yang mencemarkan alam. Selain itu asap-asap dan debu-debu kilang, kenderaan. Pusat-pusat bahan tenaga nuklear yang boleh menyebarkan unsur-unsur radiasi semua ini membawa berbagai jenis penyakit baru kepada kita dan masih banyak lagi yang belum kita ketahui. Tidak seperti alam semulajadi, seperti turun temurun kita telah ketahui bahawa alam semulajadi yang tidak tercemar dengan alam buatan manusia mampu menjana hidup yang sihat. Ubat-ubatan tradisional juga banyak yang selamat tanpa meninggalkan kesan. Selain itu sumber alam semulajadi seperti udara yang semulajadi memberikan kita lebih bernyawa dibandingkan dengan udara dari pencemaran beberapa teknologi buatan manusia. Pokok-pokok juga berfungsi bagi membekalkan gas oksigen kepada individu bernyawa untuk bernafas. Sebab itulah, lebih banyak kita menghampiri keaslian alam semulajadi semakin bernafaslah kita dan semakin sihat. Ini tidak sama dengan rata-rata pokok-pokok dari alam buatan manusia yang diperbuat dari plastik misalnya (biasa dijadikan perhiasan) . Dilihat hijau tetapi tiada kesegaran sewaktu mendekatinya. Kenapa? Sebab ia tidak membekalkan oksigen untuk badan kita (oksigen merupakan gas yang penting bagi membolehkan aktiviti dalam badan membakar bahan makanan yang diserap oleh badan lalu menukarkannya menjadi tenaga untuk digunakan bagi melakukan gerakan harian).

            Nilai sumber alam semulajadi adalah begitu tinggi, seperti bahan-bahan kayu hutan, ubatan, nilai rekreasi, penampung hidupan liar, penampung hidupan laut dan juga menyokong kehidupan manusia itu sendiri secara semulajadi. Bila disebut tetang semulajadi bermakna ia hidup tanpa bantuan manusia (kawasan ternakan, tanaman jagaan manusia bukanlah boleh dikategorikan sebagai sumber semulajadi asli kerana dikawal aktivitinya oleh manusia kekadang tanaman di racun untuk mengelakkan serangan serangga, bagi kita yang memakan tanaman seperti ini mungkin mendapat kesan sampingan). Alam semulajadi juga memiliki keseniannya yang tersendiri dan nilai seni ini banyak menyentuh perasaan diri kita. Kebanyakan peminat seni seperti pelukis terkenal lebih cenderung melukis dikawasan-kawasan pendalaman iaitu berhampiran atau dikawasan semulajadi sebagai latar belakangnya. Sebagai contoh pantai, hutan, kawasan pegunungan dan sebagainya.

            Apa yang penting bagaimanakah kita hendak memelihara alam semulajadi ini dari terus diubah oleh kehadiran manusia. Bagaimana hendak kita gunakan secara menyeluruh tanpa melibatkan pembaziran. Itulah yang sering menjadi persoalan. Adakah satu hari nanti dunia ini hanya tinggal bangunan-bangunan terpacak tanpa hutan, pulau dan sumber alam semulajadi yang lain. Walaubagaimanapun kehadiran kemajuan tidak dapat dielakkan tetapi kita masih boleh menggabungkan kedua-duanya iaitu alam semulajadi dan alam buatan manusia untuk mendapatkan kepuasan maksimum dengan syarat tidak menjejaskan mana-mana sumber antara kedua-duanya. Bagaimana? Itu terpulang kepada pakar-pakar sains dan alam sekitar untuk menyelesaikannya. Kita? Berilah pendapat sebagai sokongan kepada usaha ini iaitu mempertahankan sumber alam semulajadi. Jagailah sumber kepelbagaian benda-benda hidup semulajadi kita. Apapun andalah penilai samaada dapatkah alam buatan menggantikan alam semulajadi.Sekian.......

 

4 November 2000